Sewaktu zaman penjajahan, iaitu era negara sedang dalam proses menuntut kemerdekaan, penulis merupakan golongan yang sangat penting. Mereka membakar semangat juang penduduk tempatan menerusi mata pena. Ada di antara mereka yang mewujudkan sentimen menentang penjajahan ini dengan begitu berani hingga memanaskan punggung penjajah.
Tulisan-tulisan sedemikian boleh diambil tindakan keatas penulisnya, jika pihak yang bertanggungjawab dapat mengenal pasti identitinya. Penggunaan nama samaran pada ketika itu penting bagi menyembunyikan identiti sebenar penulisnya. Penulis pada zaman tersebut pula tidak mementingkan soal pembayaran honorarium, sebaliknya melihat karya mereka terbit adalah jauh lebih memuaskan.
Namun, pada hari ini, keperluan menggunakan nama pena lebih bertujuan komersil. Nama pena yang menarik, sedikit sebanyak mampu memancing pembaca.
Walau bagaimanapun, menulis menggunakan nama pena bagi penulis baru bukan sekadar untuk suka-suka. Nama sangat penting bagi penulis. Pembaca mungkin tidak akan mengenali penulis jika mereka berlaga bahu sekalipun. Tetapi ketika membaca karya, pembaca akan mengenali penulis melalui nama yang digunakan.
Tidak salah sama sekali jika penulis itu menggunakan namanya sendiri. Malah, menggunakan nama sendiri akan memudahkan lagi pihak pengurusan menyediakan cek bagi pembayaran honorarium. Adakalanya, nama pena yang disangka nama sebenar juga menyebabkan nama atas cek tidak dieja dengan betul.
Penggunaan nama samaran ataupun nama sebenar biarlah konsisten, terutama sekali bagi penulis yang baru hendak mencari tapak dalam dunia penulisan. Nama dan karya yang baik akan membina keyakinan pembaca terhadap penulis tersebut.
Penulis yang menggunakan nama samaran bererti beliau mengamanahkan kepada pihak editor atau penerbit karyanya supaya memegang rahsia tersebut. Penulis tentunya mempunyai sebab-sebab tersendiri mengapa beliau memilih untuk menggunakan nama samaran. Editor wajar menyimpan amanah tersebut sehinggalah penulis itu sendiri bersedia untuk 'mengumumkan' siapa dirinya yang sebenar. Rahsia kecil ini akan terbuka biasanya apabila penulis tersebut memenangi anugerah penulisan.
Dari aspek perundangan pula, penerbit dianggap sebagai wakil yang sah bagi pihak penulis. Penerbit juga hendaklah memastikan bahawa hak-hak penulis itu terjaga.Ini disebut dalam Seksyen 26(4)(b) Akta Hakcipta 1987.
Penerbit hari ini jarang sekali menerima manuskrip ataupun naskah daripada penulis yang tidak dikenal pasti identitinya.
1 comments:
salam manis.
miss u kak liza..miss u so much! :)
Post a Comment